Wednesday, August 27, 2008

Renungan sangat dihargai.....

Cikgu ingin memberi ulasan mengenai pendapat Nissa.
Cikgu faham dan akui bahawa kita sudah tidak lagi menggunakan buku teks sebagai bahan pembelajaran. Cikgu mohon maaf kerana projek ini memerlukan cikgu mengajar dengan menggunakan kaedah pengajaran yang lain daripada pengajaran melalui buku teks. Cikgu akan menggunakan buku teks semula setelah selesai projek ini. Harap sabar. Cikgu juga berharap para pelajar akan lebih berdikari dan ulangkaji pelajaran-pelajaran yang lepas dan juga membuat latihan-latihan dalam buku latihan peperiksaan ('buku biru'). Sekiranya terdapat pertanyaan, sila bertanya cikgu selepas waktu sekolah atau melalui bolg ini.

Cikgu Irma

Sunday, August 17, 2008

RENUNGAN DAN PENDAPAT

Para pelajar sekalian,

Semua pelajar dikehendaki menulis renungan mengenai pelajaran drama yang telah kamu lalui selama beberapa minggu ini. Sila terangkan perkara yang kamu pelajari dan pendapat kamu mengenai pelajaran tersebut.
Cikgu menanti renungan dan pendapat semua!

Tugasan Karangan

Pelajar-pelajar sekalian

Cikgu berharap semua akan menyiapkan tugasan tepat pada waktunya. Sila hantar tugasan pada hari khamis 21 Ogos 2008. Bagi mereka yang tidak hadir pada jumaat lepas, sila catat soalan tugasan berikut.

Terima kasih.
Jumpa lagi!

KARANGAN NARATIF / DISKRIPTIF
ARAHAN: Tulis sebuah karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 240 patah perkataan mengenai tema di bawah ini. Kamu boleh memilih cara yang sesuai untuk mempersembahkan karangan kamu itu. Tuliskan juga rangka karangan kamu dalam peta minda yang disediakan.



Soalan karangan: Kamu sebagai wartawan majalah tempatan diberi tugas menjejaki kes penculikan yang baru berlaku. Ceritakan pengalaman kamu menjejak cerita tersebut dari awal hingga mangsa dipertemukan.


Kamu boleh menulis karangan seperti biasa dengan menggunakan kertas tulis. Sila lat baris dan tulis dengan terang atau taip karangan kamu. Jika ditaip, pastikan karangan bebas dari kesilapan ejaan.

Kamu juga boleh memilih untuk menulis cerita bergambar. Kamu boleh melukis atau menggunakan komputer untuk menghasilkan gambar-gambar bagi jalan cerita kamu beserta ceritanya. (seperti buku cerita)

Saturday, August 2, 2008

Main Peranan - Wartawan / Penyiaran Berita

Tarikh Rakaman - 4 Ogos; Pelajaran BM; 7.40 - 8.50 pagi

Semua kumpulan harus bersedia untuk pelajaran akan datang. Selaku wartawan, semua pelajar diharapkan sudah menulis laporan masing-masing berdasarkan maklumat yang diperolehi sepanjang 4 pelajaran yang lepas. Setiap kumpulan harus menyiarkan berita / laporan mengenai kes penculikan yang berlaku terhadap keluarga Jacobs. Setiap kumpulan diberi kebebasan merancang bentuk penyiaran berita. Cikgu berharap semua kumpulan akan bersedia pada hari Isnin nanti.
Berikut ialah maklumat yang telah dikumpulkan selama ini. Para pelajar juga bolehlah menyumbang maklumat-maklumat lain yang tidak tertera.

Maklumat dari pakar psikik, Puan Kendall
"Saya telah mendapat imej seorang kanak-kanak perempuan berumur 4 tahun apabila memegang subangnya. Saya bermimpi dia dalam keadaan ketakutan setelah mendengar jeritan. Dia telah berlari dan bersembunyi di dalam almari. Namun almari itu dibuka dan dia ditarik keluar dengan kasar."

"Saya juga bermimpi saya meronta-ronta ingin melepaskan diri. Kedua belah tangan saya diikat dan terdapat banyak calar di tangan dan kaki saya."

"Pada malam ketiga, saya bermimpi tentang budak perempuan yang sama. Dia berada di sebuah rumah yang kosong dan ditahan oleh seorang lelaki. Wajah lelaki itu dapat saya lihat. Suaranya juga dapat saya dengar. Suaranya garau. Budak perempuan itu dalam ketakutan. Apabila saya terjaga, saya dapati saya sedang memegang subang tersebut. "

"Saya terus menghubungi suami saya dan setibanya di balai polis, saya menerangkan wajah yang saya lihat dalam mimpi saya dan saya menceritakan apa yang saya lihat. Detektif Anderson terkejut kerana lukisan yang terjana daripada penerangan itu mirip wajah Felicia, budak perempuan yang diculik. Pakar lukis juga dapat melukis wajah lelaki yang disyaki penculiknya."

"Saya tidak sangka kuasa saya dapat membantu pihak polis dalam siasatan kes ini. Walaupun agak susah untuk dipercayai, segala apa yang saya lihat dalam mimpi saya ada kebenarannya jika dibandingkan dengan bukti-bukti yang diperolehi pihak polis selama ini, padahal saya tidak mengetahui tentang maklumat siasatan kes ini. Saya juga tidak mengenali keluarga Jacobs."

Friday, August 1, 2008

Salam sejahtera pelajar-pelajar,

Cikgu harap pembelajaran bahasa Melayu selama beberapa minggu ini menarik perhatian semua. Aktiviti-aktiviti drama yang diselitkan dalam pembelajaran diharapkan bukan sahaja menarik minat pelajar-pelajar tetapi juga membuat pelajar-pelajar lebih selesa bertutur di dalam kelas. Cikgu harap semua pelajar akan bekerjasama dalam memastikan projek kami berjalan dengan lancar dan dapat memberi manfaat sebaik-baiknya.